Peranan komuniti ketika ini dilihat amat penting dalam memastikan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menyebabkan peningkatan kes COVID-19.

Bagaimanapun bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Prof Datuk Seri Dr Jacob George, perlu wujud satu garis panduan dan pelantikan pemimpin di peringkat tempatan yang diberi kuasa untuk memantau pelaksanaan normal baharu dalam kalangan rakyat.

Tegasnya, konsep itu tidak mudah dilaksanakan lantaran wujud dalam kalangan masyarakat di negara ini yang tidak boleh menerima teguran daripada individu lain termasuk mereka yang masih bersikap degil.

“Kita boleh menjadi mangsa jika golongan yang kita nak nasihat itu menjadi ganas sebagainya.

“Kita dapati banyak kes di mana penguatkuasa termasuk polis juga dimarah, dimaki, difitnah, dicaci sebagainya bila mereka turun padang untuk menjalankan tugas mereka.

“Dari segi konsep dan perspektif berkenaan apa yang hendak dibuat pada masa ini kita mengalu-alukan dan kita sokong konsep ini sebab ini akan memberi satu ekosistem yang baru di mana semua orang menjadi seorang yang bertanggungjawab untuk masyarakat Malaysia,” tegasnya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Justeru, katanya, penting untuk kerajaan melantik pemimpin masyarakat untuk melakukan proses pemantauan dan teguran di tempat awam mengikut garis panduan dan cara yang berhemah.

Jelasnya, pemimpin tempatan yang dilantik itu perlu dalam kalangan mereka yang dihormati oleh masyarakat setempat selain mempunyai tekad dalam melakukan kerja sukarelawan itu.

“Penting untuk kita memperkasa dua atau tiga pemimpin masyarakat di tiap-tiap negeri dan kawasan.

“Jadi dengan kuasa yang mereka ada, mereka juga boleh adakan pasukan di kawasan-kawasan mereka untuk turun padang dan membuat kerja ini secara sukarela kerana mereka ada kuasa dan boleh ambil tindakan.

“Namun perlu ada garis panduan di mana cara pertama adalah kita perlu menggunakan kata-kata dan pendekatan yang lembut, tapi jika sesuatu perkara menjadi satu isu yang besar, baru kita telefon penguatkuasa dan meminta mereka datang untuk membantu menyelesaikan masalah yang besar,” katanya.